Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, September 16, 2008

ISA : Ramainya yang masih tidak faham - Malaysiakini

Oleh : Ahmad Yusof
APABILA kerajaan bertindak menggunakan ISA, ramai yang ‘bangkit’ seolah-olah baru tersedar dari tidur. Jika ditanya, tiada siapa yang sukakan ISA tetapi, ini bukan soal suka atau pun tidak. Negara ini perlu dijaga. Yang menjaganya faham apa itu ISA. Kalau ada yang masih tidak faham, eloklah… kalau berjawatan, berhenti!

ISA bukan undang-undang baru, dibuat kerana mahu ‘menahan’ Raja Petra Kamaruddin dan Teresa Kok (termasuk wartawan Tan Hoon Cheng yang sudah dibebaskan). Ia dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969. Sudah banyak kali, ISA berjaya ‘mencegah’ kekecohan dalam negara kita. Biasalah, mereka yang hidup aman damai sekarang, merasakan keamanan itu datang dengan sendiri.

Teringat saya kata-kata seorang kenalan, ketika menziarahi seorang kenalan lain, yang baru dipotong kaki kanannya kerana kencing manis. Kenalan yang kehilangan sebahagian kakinya mengeluh, “Habislah saya. Hidup tak lama mana lagi. Ndak ke mana-mana, sudah semakin terhad,”

Kenalan yang mengajak saya menziarahi kenalannya itu menjawab,” Kau baru aje hilang kaki dua hari. Umur kau sekarang dah 60 tahun. Selama 60 tahun ini, kau tidak pernah bercakap dengan aku terima kasih Tuhan kerana memberikan kau kaki.”

Tersenyum kambing kenalan yang berbalut paras lutut kesan kaki dipotong. Dia tidak menjawab apa-apa tetapi senyumannya penuh makna. Saya yang berdiri di sebelah katilnya, juga tersenyum. Saya kaitkan kisah ini dengan kisah penahan ISA yang baru berlaku baru-baru ini.

Jika ada kesempatan, saya akan ulas satu-persatu ulasan dan komentar mereka yang berkait dengan suasana ini sekarang, khususnya Presiden Persatuan Wartawan (NUJ), Norila Daud yang seolah-olah bertindak mewakili persatuan wartawan asing. Bila Tan Hoon Cheng kena tahan, bukan main pantas dia bersuara seolah-olah dia pun mewakili parti politik, yang memerlukan populariti.

Saya juga wartawan. Saya pernah menjadi Editor dan pernah menjadi Ketua Pemberita. Malahan, saya juga pernah menjadi Penerbit. Berkali-kali saya berpesan kepada wartawan (pemberita) di bawah saya, ‘jika tangan berani mencincang, bahu mesti sanggup memikul’. Walaupun menjalankan tugas, kita kenalah ada tanggungjawab.

Penting apa melaporkan ucapan Datuk Ahmad Ismail, (ketika itu Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera) jika saudari tidak mempunyai niat ‘tertentu’ terhadap ‘isu perkauman’ yang memang agak sensitive di negara ini? Isu kononnya wartawan perlu diberikan kebebasan adalah kenyataan ‘budak-budak’ yang merasakan mereka perlu diberikan masa bermain lebih lama dari masa belajar.

Jika ibu bapa tidak ‘menyekat’ kebebasan yang diinginkan ‘kanak-kanak ini’, maka bukan sahaja kanak-kanak ini akan ketinggalan dalam pelajaran, risiko diculik dan tidak pulang ke rumah cukup besar. Apakah Norila Daud mahukan situasi ini?

Surat khabar Cina hanya dibaca pembaca Cina. Surat khabar Melayu dibaca semua orang, Melayu, Cina, India, Benggali dan bangsa-bangsa lain termasuk Bangladesh yang sudah lebih tiga tahun menetap di Malaysia.

Norila boleh membela wartawan, samalah seperti Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabbery Chik membelanya. Yang agak terlajak membela, Datuk Zaid Ibrahim, bersama-sama Kit Siang, Anwar Ibrahim, Koh Tsu Koon dan Abdul Rahman Dahlan.

Jika ISA digunakan untuk menangkap dan menahan 1,000 wartawan, bolehlah Norila bangkit dari ‘lena yang panjang’ tetapi apabila seorang pemberita, yang melaporkan ucapan yang kononnya berbaur perkauman, dibela sampai sanggup menghantar memorandum kepada Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri, dapatlah kita kenali ‘rendah mana pemikiran Presiden NUJ ini’.

Usah bimbang, Norila boleh menang semula sebagai Presiden NUJ. Kebetulan, jawatan itu bukan ada apa-apa pun, selain dari ‘ego’ wartawan. Jika wartawan sedar, mereka menumpang hidup di negara ini, dengan keamanan yang dijamin, mereka (wartawan) tidak perlu menulis ikut suka hati, tanpa ada perasaan tanggungjawab!

Perkataan menumpang, bukan bermaksud wartawan itu ‘penumpang’ tetapi hidup kita di dunia ini hanya sementara. Kita hanya penumpang sahaja. Tidak kira siapa, kita adalah penumpang, termasuklah Norila Daud dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya, termasuk juga Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri dan semua yang hidup ini.

Kita bukan hidup selama-lamanya. Itulah sebabnya, sementara kita hidup, sementara kita masih dibenarkan ‘menumpang’ di bumi Allah ini, carilah jalan bagaimana mahu mendamaikan dan bukan mencari jalan menimbulkan ketegangan.

Dalam hal ini, saya tabik kepada YB Datuk Shahrir Abdul Samad. Katanya dalam Utusan Malaysia, Isnin 15 September 2008, “ISA masih relevan.”

Apa yang saya paling sedih, ada menteri yang mengangap ISA bukan undang-undang. Bukan main banyak beruk dan monyet di hutan turut ketawa. Bukan ketawa sedikit, terbahak-bahak. ISA adalah undang-undang negara ini. ISA telah banyak kali menyelamatkan negara ini dari pergaduhan kaum dan pertumpahan darah.

Tan Hoon Cheng memang bukan ‘pengganas’ tetapi akibat dari laporanya, suasana jadi tegang. Ahmad Ismail sudah membuat penjelasan, tetapi Tan Hoon Cheng berkali-kali akan ‘mempertahankan’ apa yang ditulisnya. Untuk apa? Bijakkah dia jika dengan tulisannya itu akan menyebabkan hubungan Umno-Gerakan menjadi masalah? Hebatkah dia jika dengan tulisannya itu menjadi Melayu dan Cina berbalah?

Gerakan ada sumbangan kepada Umno. Umno juga ada sumbangan kepada MCA. MCA dan Gerakan bermasalah, Umnolah selama ini menjadi orang tengah. Berbanggalah dengan suasana seperti ini dan janganlah cuba mahu menjadi ‘orang tengah’ yang menyebabkan Gerakan kembali bermasalah dengan Umno dan MCA juga sudah semakin tidak menyenangi UMNO.

DAP tentunya suka dengan suasana ini kerana ‘mereka untung’ tetapi Hoon Cheng jangan jadi alat kepada DAP hanya kerana mahu ‘dianggap sebagai heroin’ dalam filem yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada perpaduan kaum di Malaysia.

Maka, ISA hendaklah dikenali sebagai undang-undang pencegahan! Kalau masih tidak faham, masuklah TADIKA semula.

6 comments:

magoo said...

aku rasa ko la yang kena masuk tadika balik. ISA itu adalah zalim sezalim2 undang2 di Malaysia dan dah tak relevan lagi. ko ni mesti pecacai UMNO kan? apakah keamanan dapat dicari dengan melakukan kezaliman? Islam tak pernah menyuruh umatnya melakukan zalim malah Allah amat murka kepada orang yang zalim dan melampaui batas.Sesungguhnya ISA adalah undang2 yang melampaui batas.Rakyat dan Islam akan bangkit mnentang ISA kerana kebenaran dan keadilan itu dari Allah.bukan dari UMNO dan BN.

LOKE said...

Kau ni wartawan yang pandai mengarang, sebagai wartawan Tan Hoong Cheng cuma melaporkan apa yang benar... seperti kau juga. Perbalahan parti adalah disebabkan oleh Ahmad Ismail bukannya wartawan berkenaan... kalau tak tahu fakta janganlah pakai ikut suka hati menulis sahaja.

Nyata sekali I S A memang kejam, merosakkan amalan Demokrasi, ia juga mencabul hak asasi manusia. patut di mansuhkan.

Anonymous said...

Sebagai seorang islam, kita perlu membuktikan sesuatu perkara, tidak boleh menahan sesukah hati..api neraka menunggu ingat itu...

Anonymous said...

Salam Sejahtera;
Sebenarnya kamu yg tak faham ISA.Kamu tak takut bila Jepun datang,Orang putih datang.Moyang aku pejuang penentang penjajah tapi kamu cabut lari bila kami hampir kalah kamu ambil kesempatan sebagai jaguh bangsa tapi sebenarnya kamu adalah pengkhianat bangsa melayu dan rakyat malaysia sebenarnya dahlah jual Singapura begitu juga pulau batu putih;

hj jamaludin said...

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Saya sokong penuh pendapat anda perihal undang-undang ISA.Bagi pendapat saya kalau kita yang berugama Islam am nya "Kalau undang-undang dunia pun kita tak leh nak ikut macammana undang-undang ahkirat.Yang nak menegak benang yang basah buat apa .Nabi Yusuf as selambang je menerima ujian Allah SWT.Kata Allah tidak bergerak sebiji zarah melainkan pergerakkan Allah jua.Yang nak takut kepada undang-undang ISA apa pasal.Kenapa nak takut kalau kita tak buat salah.PM kita bukannya bodoh kalau dia bodoh dia tak akan di lantik menjadi PM so siapa yang lantik beliau menjadi Pm kalau bukan kita semua. Renung-renungkanlah

magoo said...

Assalamualaikum haji..
"PM kita bukannya bodoh kalau dia bodoh dia tak akan di lantik menjadi PM"

kalau PM kita pandai sangat xkanla negara kita dah melingkup macam skang ni..

masalahnya yang tak buat salah tu yang disumbat masuk ISA

janganlah kita mengangkat orang yang zalim dan tidak adil menjadi wakil kelak bala bencana akan menimpa umat Islam(dah menimpa pun).

siasatla berita yang dibawa orang2 yang munafiq(utusan UMNO)kalau kita percaya berita itu tanpa siasat maka tergolonglah kita dalam orang2 yang zalim.

Maha Suci Allah yang mengetahui tipu daya makhluknya dan segala apa yang ada di dalam dada.

Wallahualam.