Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, September 15, 2008

HISHAMMUDDIN MAMPU PERKASAKAN UMNO - Malaysiakini

Beberapa pemimpin Pemuda UMNO hari ini terus menyatakan sokongan untuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti pada Disember ini.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Harun berkata sebagai parti utama yang menerajui kemajuan dan perancangan masa depan Negara, UMNO perlu menjadi parti yang sentiasa relevan kepada kehendak dan aspirasi masyarakat dan Negara.

UMNO kata beliau lagi perlu bersedia untuk sentiasa berada di hadapan, peka dan proaktif untuk menjangkau dan menghayati keperluan semasa dan masa depan.
"Oleh itu, UMNO dari aspek struktur organisasi sangat perlu mempunyai sifat dinamik yang boleh berubah mengikut keperluan dfan kehendak semasa.

"Pada hari ini, suka atau tidak suka, Malaysia akan sedang melalui era perubahan yang begitu mendadak dan drastik sehingga wujud keperluan untuk meremajakan UMNO supaya ia boleh terus kekal diterima dan relevan, lebih-lebih lagi di dalam suasana dunia globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat tanpa sempadan", katanya kepada laman webPemuda, hari ini.
Justeru beliau yang juga Pengerusi Biro Anti Dadah & Gejala Sosial, Pemuda UMNO berpendapat bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan meremaja dan memperkasakan UMNO, parti harapan segenap lapisan masyarakat dan kaum ini perlu meremajakan organisasinya.

UMNO tegas beliau perlu 'menyuntik dan mengalirkan' darah orang muda ke dalam aliran utama UMNO.
"UMNO perlukan orang muda di dalam barisan utama kepimpinannya. Oleh itu, satu-satunya pemimpin muda yang sudah dicanai dan melalui proses dan sistem Pemuda adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Kita perlu melihat perkara ini sebagai satu kemestian untuk menjadikan UMNO kekal diterima, relevan dan dinamik di dalam menerajui masa depan Malaysia", ujarnya.
Pandangan yang sama turut dinyatakan Ketua Pemuda UMNO Melaka, Ashakari Abu Noor yang menyifatkan Datuk Seri Hishammuddin adalah calon yang layak untuk menyambung hubungan, perjuangan dan suara hati antara generasi baru dan generasi lama.
Katanya, "Berasaskan pengalaman beliau menerajui Pemuda UMNO Malaysia selama 10 tahun, kami dapati beliau memahami aspirasi generasi muda dan mampu mengolah kehendak generasi masa kini."

"Kita yakin beliau mampu bekerja kuat, memikul tugas dan melaksanakan amanah bertepatan senario politik semasa. Beliau mempunyai kekentalan jati diri pemimpin nasional yang berupaya mempertahan dan memacu negara sesuai dengan kehendak bangsa dan agama", katanya.
Beliau seterusnya berkata Pemuda UMNO Melaka melihat UMNO dan Malaysia memerlukan pemimpin seperti Datuk Seri Hishammuddin yang tahu dan mempunyai kaedah untuk memacu masa depan.
"Beliau boleh memacu negara sesuai dengan kehendak bangsa dan agama. Kami menyebut 'Negara' mendahului yang lain kerana kita memerlukan pemimpin nasional yang dapat mempertahankan Negara, sekaligus dapat martabatkan bangsa dan agama", ujarnya.
Bagi Ketua Pemuda UMNO Perak, YB Zainol Fadzi Paharuddin pula berkata pihaknya sememangnya telah lama menyatakan sokongan agar Datuk Seri Hishammuddin bertanding jawatan Naib Presiden.
"Kita sudah lama menyatakan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Hishammuddin untuk bertanding jawatan Naib Presiden kerana beliau memang layak bagi mewakili generasi muda di dalam barisan pemimpin kanan UMNO.

"Kehadiran beliau di dalam barisan pemimpin kanan Parti akan memastikan kesinambungan suara dan sokongan generasi muda di dalam UMNO", katanya.
Tambahan pula ujar beliau lagi Datuk Seri Hishammuddin sudah membuktikan kepimpinan dan keupayaannya sebagai pemimpin yang memenuhi aspirasi rakyat dan keperluan nasional sepanjang sekian lama mempimpin Pemuda UMNO.
"Beliau sudah melalui pelbagai pengalaman, pahit getir, rintangan, susah dan senang di dalam berjuang membela rakyat, mempertahankan agama dan menjulang nama negara", ujarnya.

tugubangsa - Khairy turut menyuarakan sokongannya terhadap DS Hisham untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO (Klik Khairy Sokong Hisham!). Secara peribadi, elok benarlah semua pemuda bersatu. Jika benar sokongan kepada DS Hisham maka teruskanlah demi agama, bangsa dan negara!

No comments: