Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 25, 2008

Hampir Separuh Jawatan Ketua Pemuda Bahagian Di Johor Menang Tanpa Bertanding - Malaysiakini

Oleh : Indera Ahmad

Johor Bahru - Seramai 11 Ketua Pemuda daripada 26 Bahagian negeri ini telah memenangi jawatan masing-masing tanpa bertanding setelah selesai mesyuarat di peringkat cawangan di negeri itu baru-baru ini.

Bahagian yang tidak ada pertandingan bagi jawatan Ketua Pemuda ialah Muar (YB Razali Ibrahim), Ledang (Zaidi Majid), Pagoh (Ismail Mohamad), Ayer Hitam (Mohd Fadhil Maskun), Mersing (Mohd Youzaimi Yusof), Tebrau (Shahrin Jamaluddin), Tenggara (Abd Halim Abd Jalil), Pengerang, (Mohd Amin Amidon), Batu Pahat (Azizul Kamal), Parit Sulong (Zulkarnain Kamisan) dan Simpang Renggam (Zakaria Dullah).

Menurut Setiausaha Pemuda UMNO Johor, Hj Mohd Fuad Tukirin baki daripada bahagian tersebut akan menyaksikan pertandingan di peringkat tertinggi Pemuda bahagian.
"Manakala untuk jawatan lain seperti Naib Ketua Pemuda terdapat beberapa bahagian yang tidak ada pertandingan.

"Secara keseluruhan perjalanan mesyuarat di seluruh cawangan berjalan lancar walaupun terdapat juga bantahan tetapi ia dapat diselesaikan secara baik", katanya.
Fuad yang akan turut dicabar pada pemilihan Pemuda UMNO kali ini di Bakri seterusnya berharap agar semua calon yang bakal bertanding di peringkat bahagian nanti dapat berkempen secara sihat dalam semangat kekeluargaan.
"Kita tidak nafikan sememangnya pertandingan di bahagian-bahagian terbabit sengit. Namun ini sebenarnya membuktikan proses demokrasi dalam UMNO terus subur.

"Malah pada masa yang sama ini menunjukkan kita tidak kekurangan pemimpin pelapis bagi menerajui parti ini pada masa hadapan", ujarnya.

No comments: