Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, September 20, 2008

Bursa tempatan pulih semula - Malaysiakini

BURSA saham tempatan pulih semula semalam dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) ditutup kukuh di atas paras psikologi 1,000 mata, sejajar pemulihan pasaran saham global dan disokong aktiviti membeli saham murah.

Pemulihan pasaran global susulan pengumuman rancangan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang bertekad untuk mengukuhkan pasaran kewangannya, sekali gus meredakan kebimbangan pelabur terhadap kesan jangkitan krisis gadai janji Amerika ke pasaran dan ekonomi global.

KLCI dibuka tinggi pada 1,003.82 mata pagi semalam, naik 12.16 mata atau 1.23 peratus, sebelum terus melonjak untuk ditutup pada 1,025.70 mata, meningkat 34.04 mata atau 3.43 peratus.

Kenaikan di bursa tempatan juga sejajar pantulan pasaran Wall Street semalaman apabila Indeks Perusahaan Dow Jones melonjak 410.03 mata atau 3.86 peratus kepada 11,019.69 mata.

Pada peringkat serantau, kenaikan tertinggi indeks didahului oleh Indeks Hang Seng, Hong Kong yang melonjak 1,695.27 mata atau 9.61 peratus kepada 19,327.73 mata.

Ia diikuti Indeks Komposit Shanghai, China naik 179.25 mata atau 9.46 peratus kepada 2,075.09; Indeks TSEC Taiwan (+328.43 mata atau 5.82 peratus kepada 5,970.38); Indeks Komposit Jakarta (+104.06 atau 5.82 peratus kepada 1,891.73); Indeks Straits Times Singapura (+139.86 mata atau 5.78 peratus kepada 2,559.07 mata); dan Indeks Kospi Korea (+63.36 mata atau 4.55 peratus kepada 1,455.78).

Pengurus Pelaburan Kanan TA Investment Bhd, Alsetdek Ali, berkata kenaikan pasaran saham tempatan semalam diterajui kaunter sektor perbankan, pembinaan serta perkhidmatan dan perdagangan.

Katanya, aktiviti memburu saham murah selepas berlaku jualan panik semalam (kelmarin), melonjakkan pasaran tempatan.
"Pelabur institusi tempatan menerajui belian hari ini (semalam) dengan tumpuan terhadap kaunter perbankan, pembinaan dan perkhidmatan selepas kejatuhan teruk harga," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau menambah, pasaran tempatan susut kira-kira lapan peratus bulan ini susulan tekanan krisis kewangan global dan ketidaktentuan politik tempatan.

Aseambankers dalam laporan penyelidikan hariannya, berkata bank pelaburan itu mengekalkan sasaran KLCI pada paras 1,130 menjelang hujung tahun ini.
"Pasaran global masih belum pulih sepenuhnya. Pasaran ekuiti AS dijangka meneruskan aliran menurun selepas pantulan semasa susulan kedudukan ekonominya yang semakin lemah.

"Bagi pasaran tempatan, kami menjangka KLCI akan terus menjejaki pergerakan bursa utama global dengan kenaikan dijangka berlaku pada suku keempat tahun ini, jika keadaan politik tempatan tidak bertambah buruk," kata laporan itu.
OSK Investment Research pula berkata, pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, krisis kewangan dan ketidaktentuan politik domestik, menyebabkan unjuran jangka pendek KLCI kekal lemah.
"Kami menyaran pelabur untuk menumpukan kepada saham kukuh bersifat defensif buat sementara waktu sehingga tekanan jualan berakhir, sebelum beralih membeli saham pertumbuhan nilai," katanya.
OSK mensasarkan paras KLCI pada 1,128 mata pada hujung tahun susulan ketidaktentuan politik dan kenaikan harga komoditi.

No comments: